Mrscd’s Weblog

Selamat Datang ke Mrscd’s Weblog السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

  • Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah s.w.t, kerana dengan izinNya jua saya berjaya membina weblog ini. Pembinaan weblog ini adalah salah satu daripada tugasan PI 5403 Teknologi Pendidikan Pengajian Islam. Apa yang penting ialah, melalui kursus ini saya berkesempatan menimba ilmu dan pengalaman dalam pembinaan dan penulisan weblog, untuk itu di dalam blog yang serba kekurangan ini saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Profesor Madya Dr. Haji Suaidi di atas tunjuk ajar yang telah beliau curahkan, Walaupun dalam tempuh yang singkat namun amat berharga dan bermakna bagi saya dan rakan-rakan seperjuangan. Untuk kawan-kawan diharapkan agar meneruskan penulisan weblog ini….walaupun kursus sudah tamat……terutama kepada bloger “minumpetang” (sampaikan hajat).
  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Blog Stats

    • 18,942 hits
  • Top Clicks

    • Tiada

ULASAN & RINGKASAN BUKU-IBNU SAHNUN, Mutiara Pendidik Muslim

Posted by mrscd di Mac 23, 2008

madinah_ns.jpgmadinah_ws.jpg

Bab Pertama Mukadimah

Di dalam mukadimah, penulis buku ini telah menjelaskan bahawa Pendidikan Islam mempunyai sejarah yang panjang seiring dengan  kedatangan Islam itu sendiri. Pendidikan Islam pada mulanya berlangsung secara tidak formal seperti di rumah  sahabat, ulama, masjid, tempat-tempat penjualan buku dan sebagainya. Nabi sendiri menjadikan rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam di Makkah sebagai tempat pendidikan, begitu juga rumah baginda di Makkah dan Madinah. Dalam sejarah awal Pendidikan Islam terdapat sebuah institusi Islam yang dikenali dengan nama Al-Kuttab. Menurut Syalabi Al-Kuttab telah ditemui sebelum Islam Walaupun jumlahnya sangat sedikit, tanpa merinci tempat-tempat pendidikan tersebut. Tambahnya, pendidikan di Al-Kuttab telah dikenal sejak abad pertama Hijrah di kota-kota Islam. Demikian juga kota Qairawan Tunis telah ditemui Al-Kuttab sejak pertengahan abad pertama Hijrah. Kita tidak mungkin melupakan apalagi meninggalkan gagasan-gagasan besar Ibnu Sahnun tentang Pendidikan Islam. Pemikiran-pemikiran Ibnu Sahnun tentang pendidikan Islam amat sesuai  untuk dibincangkan dan diperkatakan kembali berdasarkan beberapa kepentingan berikut:-Pertama, karya Ibnu Sahnun “Adab Al-Muallimin” adalah buku pertama yang dikenal dalam pendidikan Islam dan banyak dikutip oleh para tokoh pendidikan Islam sesudahnya seperti Al-Qabisi dan dijadikan rujukan utama oleh Ahmad Fu’ad Al Ahwani dalam bukunya. Kedua, pemikiran-pemikiran Ibnu Sahnun dalam kitab tersebut telah menjelaskan berlangsungnya pendidikan Islam di “Al-Kuttab” mirip dengan Madrasah Ibtidaiyah (rendah) saat ini, berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.Ketiga, Adanya pemahaman di tengah masyarakat, bahawa pendidikan Islam adalah pendidikan yang hanya mementingkan kepada akhirat semata-mata tanpa mementingkan dunia sama sekali. Sebagai renungan penulis buku ini menyatakan mengenai perbincangan pendidikan Islam dan tokoh-tokohnya yang telah lama terabai, apalagi ketika barat mencengkamkan kakinya di negeri-negeri Islam. Hasilnya idea-idea pendidikan barat lebih dominan dan berperanan menggantikan pendidikan Islam, yang terkadang tidak ada hubungannya dengan ajaran-ajaran Islam bahkan bercanggah sama sekali.Ibnu Sahnun telah berjaya melahirkan gagasan-gagasan besar dalam bidang Pendidikan Islam yang masih releven sehingga hari ini. Pemikiran Ibnu Sahnun tetang Pendidikan Islam terhimpum dalam buku pertama beliau iaitu kitab Adab Al-Mu’allimin (Adap Para Pendidik) yang telah direalisasikan dan dilaksanakannya di Al-Kuttab. Ianya bertujuan untuk  melahirkan lulusan Al-Kuttab yang memahami dan mendalami agama di samping memiliki wawasan yang luas dan menguasai ilmu-ilmu keduniaan dan kemahiran. Pemikiran beliau lebih cenderung kepada Al-Tarbiyyah Al-Fiqhiyyah (pendidikan yang bercorak fiqih) dengan maksud memberikan penekanan kepada ilmu-ilmu agama.  Pandangan-pandangan Ibnu Sahnun dalam Pendidikan Islam telah diikuti oleh tokoh-tokoh Pendidikan Islam yang hidup sesudahnya, seperti Al-Qabisi, Ibnu Maskawaih, Ibnu Khaldun dan lain-lain. Ibnu Sahnun telah memberikan perhatian terhadap pendidikan yang berlangsung di Kuttab dengan memberikan beberapa penekanan terhadap unsur-unsur penting dalam dunia persekolahan seperti disiplin anak didik , pengendalian bilik darjah, peranan ketua darjah dan kaedah pengajaran. Sistem pendidikan dalam bentuk sekolah telah wujud di zamannya dan bertebaran di seluruh negeri Maghribi 

Bab Kedua Riwayat hidup Ibnu Sahnun

Bercakap tentang Pendidikan Islam dan lembaga pendidikan yang ada di Qairawan dan di rantau Maghribi pada kurun ketiga hijrah, ialah munculnya seorang tokoh pendidikan beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Abi Sa’id Sahnun dan dikenali juga dengan Abdul Salam bin Habib bin Hisna bin Hilal bin Bakkar bin Rabi’ah Al-Tunukhi. Muhammad bin Sahnun lebih dikenali dengan Ibnu Sahnun, lahir dari keluarga ilmiah pada tahun 202H di kota Ghadat. Ayah Ibnu Sahnun seorang yang sangat alim. Ibnu Sahnun dibesarkan dalam jagaan ayahnya dan dimasukkannya ke al-Kuttab. Guru pertama Ibnu Sahnun adalah ayahnya. Beliau belajar Al-Quran dengannya dan berbahas dengan ayahnya. Dalam usia muda beliau telah menelaah beberapa buku karangan ayahnya. Banyak ulama menyanjungi Ibnu Sahnun. Sahsiah Ibnu Sahnun banyak dipengaruhi oleh keperibadian ayahnya yang merupakan pendidik pertamanya beliau dikenali dengan sifat zuhud, wara’ rendah hati disamping menguasai ilmu fiqh dan agama. Ibnu Sahnun juga tidak melupakan bidang penulisan dalam berbagai ilmu, beliau seorang yang banyak menulis dan mengarang dalam semua bidang ilmu yang kesemuanya hampir mencecah 200 buah buku. Walau bagaimanapun hanya dua buah buku karangan Ibnu sahnun yang sampai ke tangan kita pada hari ini, iaitu Buku Adab Al-Muallimin dan kitab Ajwibah. 

Bab Ketiga Konsep Pendidikan Ibnu Sahnun

Ibnu Sahnun telah membincangkan tentang kurikulum  dan  kaedah pengajaran. Menurut beliau, kedua perkara ini adalah berbeza. Kurikulum adalah satu istilah yang menjelaskan  tentang kuantiti dan kualiti bahan yang diajarkan, manakala kaedah pula menjelaskan tentang cara-cara penyampaian di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ibnu Sahnun mengklasifikasikan di antara subjek-subjek wajib dan pilihan yang harus diambil oleh seorang Pelajar. Di antara kurikulum wajib ialah AL-Quran Al-Karim dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, Hadis Rasulullah s.a.w dan Fiqih. Menurutnya subjek Al-Quran mesti dipelajari oleh semua Pelajar tanpa mengira bidang pengkhususan. Malah disyaratkan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, anak didik mestilah mengkhatamkan Al-Quran terlebih dahulu. Sementara kurikulum pilihan, Ibnu Sahnun telah menawarkan subjek-subjek pilihan seperti Ilmu Hisab, Syair, Bahasa Arab, Kaligrafi, Pidato dan subjek-subjek yang diperlukan oleh anak didik bagi kehidupan mereka ketika itu. Dalam konteks sekarang, anak didik perlu dibekali dengan kemahiran dan keterampilan sesuai dengan bakat yang dimilikinya dan keperluan semasa. Hal ini dimaksudkan agar anak didik tidak hanya menguasai bidang akademik semata, tetapi juga mampu merialisasikannya dalam bentuk amali.Peranan pendidik di Al-Kuttab tidak hanya terbatas pada pendidikan  dan pengajaran tetapi sebgai orang tua bagi anak didik. Beliau juga menitikberatkan peranan pendidik sebagai pelaksana utama dalam pendidikan yang kini dikenal sebagai Teori Pemusatan Guru. Para pendidik hendaklah memiliki ilmu yang mendalam, mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa dan Pelajar. Pendidik hendaklah bijak mengurus bilik darjah sebagai mekanisme utama dalam mempastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar. Menurut Ibnu Sahnun peranan pendidik adalah luas dan tidak hanya terhad di dalam  bilik darjah. Seorang pendidik seharusnya memberikan perhatiannya terhadap anak didik secara berterusan dan memantau mereka di mana sahaja, sama ada di rumah mahupun ditengah-tengah masyarakat. Inilah satu tanggungjawab yang besar dan harus dipikul oleh seorang pendidik. Selain daripada tanggungjawab mengajar di sekolah. Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan guru sebagai contoh teladan role model yang menjadi ikutan anak didik bahkan masyarakat. Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan bagi pendidik untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan mengamalkan dalam kehidupannya.Ibnu Sahnun juga telah menjelaskan pengertian hukuman dalam dunia pendidikan. Ianya merupakan cara terakhir dilaksanakan yang bertujuan untuk meluruskan dan memperbaiki keadaan anak didik dan bukan untuk memuaskan hawa nafsu atau belas dendam terhadap anak didik. Pendidik tidak sewenang-wenang menjatuhkan hukuman tanpa rasa kasih sayang. Demikian halnya imbalan baik perlu dilakukan dalam dunia pendidikan bagi tujuan memotivasikan anak didik untuk bekerja keras dan bersungguh-sungguh. 

Kesimpulan

Penulis buku ini telah mengutarakan gagasan-gagasan atau pandangan-pandangan Ibnu Sahnun di dalam Pendidikan Islam. Ianya membuka minda para pembaca khususnya para pendidik mengenai Pendidikan Islam yang dikemukakan oleh Ibnu Sahnun agar dapat dijadikan satu perbandingan antara Pemikiran Ibnu Sahnun dan Pendidikan Islam dewasa ini di samping untuk mengetahui aspek-aspek positif yang dapat dilaksanakan di zaman ini. Menurut penulis buku ini kajian-kajian tentang konsep Pendidikan Islam dari tokoh-tokoh Pendidikan Islam terdahulu yang lain  juga perlu dilaksanakan seperti Al-Qabisi, Al-Zarnuji, Al-Maskawaih, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan tokoh-tokoh Pendidikan Islam di rantau melayu seperti Hamka, Mohammad Nasir, Syaikh Daud Pattani, Tok Kenali, Zaaba dan lain-lain agar ianya akan menjadi lebih sempurna. Di samping itu penulis buku ini juga berpendapat bahawa kajian terhadap kitab-kitab Turath (khazanah-khazanah intelektual Muslim) terdahulu perlu dimantapkan dan dimasyarakatkan di kalangan para pendidik dan sarjana agar mereka memahami dan mengetahui bahawa tokoh-tokoh Pendidikan Islam yang terdahulu telah berjaya menghasilkan konsep buku pendidikan yang baik dan bermutu. Dengan demikian mereka terpanggil dan beriltizam untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik dalam bidang pendidikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: