Mrscd’s Weblog

Selamat Datang ke Mrscd’s Weblog السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

  • Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah s.w.t, kerana dengan izinNya jua saya berjaya membina weblog ini. Pembinaan weblog ini adalah salah satu daripada tugasan PI 5403 Teknologi Pendidikan Pengajian Islam. Apa yang penting ialah, melalui kursus ini saya berkesempatan menimba ilmu dan pengalaman dalam pembinaan dan penulisan weblog, untuk itu di dalam blog yang serba kekurangan ini saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Profesor Madya Dr. Haji Suaidi di atas tunjuk ajar yang telah beliau curahkan, Walaupun dalam tempuh yang singkat namun amat berharga dan bermakna bagi saya dan rakan-rakan seperjuangan. Untuk kawan-kawan diharapkan agar meneruskan penulisan weblog ini….walaupun kursus sudah tamat……terutama kepada bloger “minumpetang” (sampaikan hajat).
  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Blog Stats

    • 18,942 hits
  • Top Clicks

    • Tiada

Rencana

PENDIDIK DALAM ISLAM

kaba2.jpgkaaba_1297ah.jpgkaaba_1371ah.jpg 

MUKADIMAH

Para Nabi a.s adalah seafdal-afdal makhluk di sisi Allah s.w.t dan diikuti oleh Ulama’ (ahli ilmu) kerana Ulama’ itu ialah pewaris para Nabi. Para Nabi a.s tidak mewariskan mereka dengan dinar atau dirham akan tetapi dengan ilmu. Rasulullah s.a.w adalah pendidik yang teragung. Baginda mendidik umatnya melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Allah s.w.t berfirman: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat engkau dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan Al Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesunguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Baqarah : 129)

Oleh itu adalah menjadi kewajipan kepada para ulama’ (ahli ilmu) untuk meneruskan tugas mendidik ummah. Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati”. (Surah Al-Baqarah: 159)Pada umumnya orang memahami bahawa seorang pendidik itu ialah seorang yang terlibat dengan kerja-kerja pendidikan atau pengajaran. Dengan ertikata lain seseorang yang terlibat dengan kerja-kerja pengajaran ilmu pengetahuan sama ada di sekolah, maktab, universiti, surau, masjid, pondok atau madrasah. Pengertian seperti ini lebih khususiah. Walau bagaimanapun proses pendidikan itu juga berlaku di mana-mana seperti di rumah, tempat permainan dan sebagainya. Oleh yang demikian tugas mendidik itu bukan hanya menjadi taggungjawab guru di sekolah malah mereka yang terlibat sama ada secara formal atau tidak formal, terutama sekali ibu bapa atau penjaga murid itu sendiri.

DEFINISI PENDIDIK

Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, pendidik ialah guru, pengasuh, wali, pemimpin pengelola, pelatih, penyelenggara, pengajar dan pemelihara.

Mengikut istilah yang digunakan oleh sarjana-sarjana Islam guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, ustaz, mudarris, mursyid atau ulama. Semua istilah-istilah yang digunakan bersal dari Bahasa Arab dan pada dasarnya istilah-istilah tersebut mempunyai maksud yang sama iaitu memberi pengajaran atau pendidikan. Namun terdapat beberapa pandangan yang bebeda mengenai penggunaan istilah tersebut. Ini tergantung kepada bidang ilmu yang dipelajari. Seperti istilah Ustaz dan Mudarris, dalam masyarakat Melayu, Ustaz dan Mudarris dikhususkan kepada mereka yang mengajar pelajaran agama Islam di sekolah, madrasah, masjid, pondok dan sebagainya.I

stilah Muallim juga bermaksud pengajar, lebih menjurus kepada seorang pengajar (tidak terhad kepada guru sekolah) yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya, dan kadang kala digunakan dalam ertikata pemimpin. Berbeza dengan Murabbi, seorang Muallim lebih menumpukan kepada ilmu akal. Sementara Murabbi membawa maksud yang luas, melebihi tahap Muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

Istilah mursyid bermaksud memberi tunjuk ajar. Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah. Para Mursyid dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyah an-nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w. (tanpa terputus turutannya). Oleh itu pada kebiasaannya, ia daripada keturunan Ulama.

Guru-guru pada zaman Abbasiyah digolongkan kepada tiga kategori:

i) Mualim  – Golongan guru sekolah rendah yang diberi tugas mendidik ilmu-ilmu asas Islam seperti Al-Quran, Ibadah, Akidah dan Ilmu  Akhlak.

ii) Mu’adib Guru khas yang bertanggungjawab mengajar sekolah khas. (Istana Khalifah)

iii)Ustaz      Pensyarah di sekolah tinggi (maktab). (Ghazali Darussalam, 2001)  

Guru ialah segolongan orang yang menjalankan tugas ikhtisas sebagai pendidik dan pemimpin. Mereka boleh mencorakkan masa depan masyarakat dan dapat menentukan untung nasib sesebuah bangsa. (Ahmad Mohd.Salleh.2003).

Guru adalah salah satu faktor yang sangat penting dalam pendidikan dan pengajaran, kerana gurulah yang akan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi seorang murid (H Syamsul Bahri Tanrere, 1993)

Oleh itu para guru atau pendidik mestilah sedar akan tanggungjawab mereka dan sentiasa menjaga nama baik mereka sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat dengan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab secara ikhlas dan jujur.

PENDIDIK DALAM ISLAM

Pendidik di dalam islam adalah meliputi hal keduniaan dan akhirat sama ada pendidik itu menyampaikan Ilmu Fardhu Ain atau Ilmu Fardhu Kifayah. Sebagaimana menurut Imam Ghazali bahawa ilmu itu dibahagikan kepada Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.Sistem pendidikan Islam memperimbangkan tawazun antara kepentingan individu dengan kepentingan ummah melalui konsep Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Demikian juga dalam kaedah fiqih terdapat konsep maslahah ummah (kepentingan ummah) dan maslahah ammah (kepentingan awam) di samping pengakuan Islam terhadap maslahah fardi atau khassah (kepentinan individu). (Ghazali Basri, Jurnal Pendidikan Islam, Desimber 1987).Hal ini juga dapat dilihat di dalam kitab Adab Al Mu’allimin di mana Ibnu Sahnun telah membahagikan kurikulum pendidikan di Al Kuttab kepada kurikulum wajib (ijbari) dan kurikulum pilihan  (ikhtiyari). Bagi kurikulum wajib para pendidik akan mengajarkan al-Quran, Hadis Nabi dan Fiqih sementara bagi kurikulum pilihan pelajaran yang diajarkan ialah; Ilmu Hitung, Syair, al-Gharib (kata-kata sulit), Bahasa Arab dasar dan Kaligrafi serta Ilmu Nahu. Menurut Imam Ghazali illmu Fardhu Kifayah itu terbahagi kepada ilmu Syari’ah dan bukan Syari`ah. Ilmu Syari`ah ialah ilmu-ilmu yang diperolehi dari Nabi s.a.w. Sementara ilmu bukan Syari`ah pula ialah ilmu-ilmu yang terpuji, iaitu ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan kepentingan duniawi dan untuk kemaslahatan ummah, seperti ilmu kedoktoran dan sebagainya yang mana ilmu berkenaan menjadi keperluan bagi sesebuah negara.   Seorang pendidik haruslah memahami bahawa Islam adalah ad-Din bukan sekadar aqidah dan peribadatan seperti sembahyang puasa menunaikan zakat dan naik haji tetapi suatu sistem hidup nizam al-hayat yang serba mencakup sama ada dari segi hubungan manusia sesama manusia atau di antara manusia dengan tuhannya dan hubungan manusia dengan alam sekelilingnya sama ada yang berbentuk spiritual atau material. Pendidik bukan sahaja berperanan untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri, malahan juga untuk masyarakat tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan hukum Allah s.w.t. Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada ahli-ahli ilmu. Allah berfirman yang  bermaksud:  “Sesungguhnya  yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ulama’”. (surah Faathir: 28).Dan  Rasulullah s.a.w bersabda:  “Ulama’ ialah pewaris para nabi”.Kedua-dua nas di atas jelas membuktikan bahawa Islam memberi penghormatan kepada ahli ilmu. Mereka mempunyai sifat ketakwaan kepada Allah s.w.t hasil daripada ilmu yang diwarisi daripada para nabi a.s. Tugas menyampaikan amalan keilmuan ini terletak pada pendidik. Melalui ilmu sahajalah kita dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan sesuatu yang hak dan batil.

Mendidik adalah amanah Allah s.w.t

Nabi Muhammad s.a.w selalu menganjurkan para sahabatnya untuk menyampaikan apa yang pernah mereka dengar, supaya dimanfaatkan oleh generasi-generasi berikutnya di mana sahaja. (Dr.Yusuf Qardhawi, 1996). Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Sampaikanlah olehmu yang datang dariku meskipun hanya satu ayat”. Dinulhayah Islam adalah sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna dan Islam adalah agama untuk pendidikan hidup. Oleh itu orang yang pertama sekali bertanggungjawab dalam mendidik ialah ibu bapa atau penjaga anak-anak. Kedudukan dan peranan ibu bapa adalah soal yang paling utama dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda:“semua kanak-kanak dilahirkan suci, tetapi ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.Hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Pendidikan adalah proses yang berterusan seumur hidup. Pendidikan tidak akan terjejas atau tergugat oleh batas-batas masa, tempat dan nilai-nilai kemasyarakatan. Sejak dari kelahiran kita ke dunia, hinggalah kita kembali menemui Tuhan, proses pendidikan tetap berterusan dan diperlukan. (Tajul Ariffin Noordin. 1990).Setelah ibu bapa, orang kedua yang bertanggungjawab dalam mendidik adalah guru. Walau bagaimanapun ibu bapa tidak boleh meletakkan tugas mendidik anak-anak kepada guru semata-mata. Islam sendiri meletakan setatus ibu bapa itu lebih tinggi daripada guru-guru dalam urusan mendidik anak. Para pendidik harus sedar bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah amanah Allah dan bukan suatu tugas yang ringan. Ia merupakan satu tanggungjawab besar dalam membina perkembangan manusia. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas. Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatat baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. Dan sesiapa yang mengasaskan jalan tidak baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya dengan tidak dikurangkan sedikit pun dosanya”.Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab dan kedudukan pendidik atau guru dalam konteks keagamaan. Mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat. Jika kesedaran keagamaan seumpama ini wujud dalam setiap diri pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang kurikulum dan bidang keilmuan. Ini kerana usaha itu bukan berakhir di situ sahaja, tetapi dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t pada hari kemudiannya.Pendidik haruslah berkemampuan membina keunggulan sahsiah pelajar-pelajarnya dan keunggulan suasana pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai keseimbangan antara pengahayatan agama dan moral, dengan kemahiran dalam pengurusan hidupnya.

Bidang perguruan pada pandagan Islam

Untuk mengetahui sejauhmana pentingnya profesion tersebut dalam Islam, Al-Quran dan hadis ada menjelaskan antaranya, Allah s.w.t  berfirman: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik”. (Surah an-Nahl: 125).Dan  Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahwasanya jika kamu mengajar seseorang, lalu dia mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya”.Jika diteliti maksud ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang diutarakan di atas, menunjukkan dengan jelas akan keutamaan-keutamaan mengajar khususnya dalam profesion perguruan.Seorang pendidik mestilah menyedari hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Ia hendaklahlah meletakkan tanggungjawab ini di atas dasar pahala dan dosa. Kerja pengajaran adalah sebahagian amal soleh manakala enggan menyampaikannya dosa yakni siksaan api neraka. (Ghazali Basri, Jurnal Pendidikan Islam, Desimber 1987). Jika dilihat dari sudut sejarah dan budaya, guru atau pendidik adalah dianggap sebagai profesion yang mulia. Sejarah menunjukkan hubungan di antara istana dengan tuan guru. Ulama’ dan guru adalah rapat dan dimuliakan berbanding dengan jawatan-jawatan lain. Dari segi budaya, konsep berguru amat diutamakan. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan ilmu, apa yang lebih penting ialah berguru untuk membina akhlak dan adab berilmu.(Dr.Tajul Ariffin Noordin & Dr.Nor’ Aini in Noordin & Dr.Nor’ Aini Dan, 2002)

Sifat-sifat pendidik menurut Islam

Pendidik dalam pendidikan Islam adalah sebagai mediator bagi anak-anak untuk mengikuti gaya Islami yang tercermin pada diri Nabi Muhammad s.a.w (Dr. Gamal  Zakaria, 2002)Para pendidik wajiblah membentuk keperibadiannya yang luhur. Pendidik adalah qudwah (kepemimpinan) dan juga uswah (model) yang baik yang sering ditonton oleh anak-anak didiknya maka seorang pendidik tidak akan menganjurkan sesuatu jika ia sendiri tidak melaksanakannya kerana ia menyedari tentang kemurkaan Allah (dosa) jika ia sendiri tidak melaksanakan apa yang ia ucapkan.Oleh itu para pendidik perlulah menghiasi diri dengan  sifat-sifat yang terpuji sesuai dengan sifatnya yang paling mulia di dalam Islam. Dr. Abdul Halim al Muhammady menyenaraikan lapan sifat yang wajib dimiliki oleh pendidik, iaitu:

  1. Sifat Zuhud (mendidik kerana mencari keredaan Allah). Sifat Zuhud bermakna menyampaikan pelajaran bukan kerana belasan kebendaan atau penghormatan masyarakat, tetapi kerana mencari keredhaan Allah. Namun Ini bukan bermakna kita tidak boleh menerima ganjaran dari usaha itu. Kemuncak matlamat kerja yang dilakukan seharusnya tidak diukur dengan pencapaian kebendaan kerana itu akan membahayakan peningkatan diri dan pencapaian orang yang berada di bawah didikannya.
  2. Kebersihan diri. Sebagai pendidik hendaklah menjauhkan diri dari kekotoran sifat-sifat mazmumah seperti bersifat angkuh, riak, hasad, pemarah dan dari kekotoran syara’ yakni melakukan perkara-perkara dosa besar dan yang diharamkan oleh Islam.
  3. Keikhlasan dalam bekerja, termasuklah juga sifat dedikasi.
  4. Mempunyai sifat halim, iaitu sifat lemah lembut, sopan santun, tidak lekas berang.
  5. Menjaga kehebatan dan kehormatan diri, yakni tidak melibatkan diri dengan suasana  yang boleh menjatuhkan peribadi dan maruahnya sama ada dari segi pakaian , perbuatan dan percakapan.
  6. Perlu merasa dirinya sebagai bapa dalam menghadapi muridnya.
  7. Hendaklah memahami tabiat murid-muridnya dan.
  8. Mempunyai ilmu pengetahuan yang luas (Dr.Abdul Halim Al-Muhammady, Jurnal Pendidikan, Disember 1986).

 Pendidik yang efektif  

Imam Ghazali telah menyatakan tujuh ciri pendidik yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas pendidik yang cemerlang:

1)      Mempunyai rasa belas kasihan kepada murid-murid dan memperlakukan mereka sebagai anak sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku ini bagimu adalah seumpama seorang ayah bagi anaknya”. Rasa belas kasihan seperti ini hanya akan wujud jika pendidik melaksanakan tugas dengan tujuan akhirat.

2)      Mengikut tingkahlaku dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan tidak minta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya.

3)      Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas atau mempelajari suatu tingkat sebelum berhak pada tingkat itu.4)      Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut atau kasih sayang, bukan memarahi mereka atau mengejek.

5)      Tidak sesekali merendahkan mata pelajaran atau ilmu yang lain di hadapan muridnya.

6)      Hendaklah pembelajaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.

7)      Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar.

Ciri-ciri di atas jelas menunjuk bahawa pendidik yang efektif itu perlulah mempunyai disiplin yang tinggi dalam pendidikan sama ada dari segi sahsiahnya, ilmu pengetahuannya dan pedagogi pendidikannya. Salah satu ciri yang dinyatakannya ialah seorang pendidik itu perlu mengajar sesuatu secerca berperingkat. Hal ini adalah berkaitan dengan metod atau kaedah pengajaran. Sehubungan itu Ibnu Khaldun  ada mengungkapkan  tiga langkah metod pengajaran:

1.      Hendaklah diajarkan kepada murid pengetahuan yang bersifat umum dan sederhana, khusus berkenaan dengan pokok bahasan yang dipelajari. Pengetahuan ini hendaklah disesuaikan dengan taraf kemampuan intelektual murid, sehingga tidak berada di luar kemampuannya untuk memahami. Hendaklah murid belajar pada tingkatan pertama atau paling sederhana. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun “Ketika itu tercapailah suatu malakah baginya di dalam ilmu itu, meskipun bersifat lemah”. Ibnu Khaldun memandang langkah ini sebagai langkah pendahuluan bagi langkah kedua.

2.      Pendidik kembali mengajarkan pengetahuan tersebut kepada anak didiknya dalam taraf yang lebih tinggi dengan memetik intisari pelajaran, keterangan dan penjelasan yang lebih khusus. Dengan demikian pendidik dapat mengantarkan anak didiknya kepada taraf pemahaman yang lebih tinggi, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Khaldun “maka menjadi baiklah malakahnya”.

3.      Pendidik mengajarkan pokok bahasan tersebut secara lebih terperinci dalam konteks yang menyeluruh, sambil memperdalam aspek-aspeknya dan menajamkan pembahasannya. Tidak ada lagi yang sulit dan penting yang tidak diterangkan. Begitu suatu ilmu selesai dipelajari, maka ilmu itu telah menjadi malakahnya. Walau bagaimanapun Ibnu Khaldun mengatakan sebahagian anak didik yang cerdas kadangkala hanya memerlukan dua langkah sahaja di dalam mengajar mereka, terutama jika pendidik berkemampuan tinggi. Di sini jelas bahawa pendidikan Islam itu hendaklah diajarkan secara berperingkat. Oleh itu sukatan pelajaran yang disediakan haruslah mengambil kira tahap dan kemampuan murid agar setiap pelajaran yang diajarkan dapat dikuasai oleh murid dengan baik.

KESIMPULAN

Kedudukan pendidik menurut Islam adalah mulia kerana mereka adalah penerus tugas Nabi s.a.w dalam menyampaikan ilmu dengan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnahnya. Oleh yang demikian para pendidik wajiblah membentuk keperibadian yang luhur dan memiliki sifat-sifat yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam kerana pendidik adalah qudwah  dan juga uswah yang baik bagi anak-anak didik.Islam menjelaskan bahawa ibu bapa atau penjaga berperanan penting dalam mendidik anak-anak mereka, kerana merekalah yang mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Peranan guru sebagai pendidik juga tidak kurang pentingnya, mereka diamanahkan oleh ibu bapa untuk mendidik, mengajar, membimbing dan mengembangkan fitrah (malakah) anak didik mereka. Oleh yang demikian pada umumnya tugas mendidik itu adalah menjadi tanggungjawab bersama, sama ada secara formal atau tidak formal khusnya bagi ahli-ahli ilmu, kerana tugas ini juga merupakan amanah Allah s.w.t. 

BIBLIOGRAFI 

1)      Al-Quran dan Terjemahannya (Indonesia) . Madinah Al-Munawwarah. Kerajaan Arab Saudi.

2)      Ahmad Mohd. Salleh (2003), Pendidikan Islam, Falsafah dan Kaedah Pengajaran Pembelajaran. Oxford Fajar. Selangor Darul Ehsan, Malaysia. 

3)      Dr Abdul Halim Muhammady (Tahun 1 Bil. 4. Disember,1986)., Peranan Guru Dalam Pendidikan Islam, Jurnal Pendidikan Islam, Biro Pendidikan , Angkatan Belia Islam Malaysia. Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

4)      Dr. Gamal Zakaria (2002). Ibnu Sahnun, Mutiara Pendidik Muslim. Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akademik, Kolej Islam Darul Ehsan. Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

5)      Dr. Yussuf Qardhawi (1996). Keutamaan Ilmu dan Kemuliaan Para Ulama’. Terjemahan M. Junaidi Al-Hashim. Perniagaan Jahabersa. Johor Baharu, Malaysia.

6)      Ghazali Basri, (Tahun 2 Bil 6 Disember 1987). Peranan Pendidik, Peranan Pendidik Dalam Pembentukan Ummah, Jurnal Pendidikan Islam, Biro Pendidikan , Angkatan Belia Islam Malaysia. Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

7)      Ghazali Darusalam (2001). Pedagogi Pedidikan Islam. Utusan Publication & Distributors. Kuala Lumpur, Malaysia.

8)      Imam Al-Ghazali (1990). Ihya’Ulumiddin Juz 1. Darul Khair.

9)      Imam Al-Ghazali (1980). Ihya ‘Ulumiddin Jelid 1. Terjemahan TK. H.Ismail Yakub. Perc. Menara Kudus. Indonesia.

10)  Prof. Fathiyyah Hasan Sulaiman (1987). Pandangan Ibnu Khaldun Tentang Ilmu dan Pendidikan. Universiti ‘Ain Syams Mesir. Maktabah Nahdlah Mesir,

11)  Prof. Madya. Dr. Tajul Ariffin Noordin (1990). Pendidikan Suatu Pemikira Semula. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

12)  Prof. Madya. Dr. Tajul Ariffin Noordin dan Prof. Madya. Dr Nor’ Aini Dan (2002). Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Pendekatan Bersepadu, As-Syabab Media, Selangor Bangi Darul Ehsan, Malaysia.

13)  Syamsul Bahri Tanrere (1993). Bimbingan Mengajar Bagi Calon Guru Ugama. Universiti Brunei Darussalam.14)  Haji Zainal Abidin Safarwan (1995). Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Perpstakaan Negara Malaysia.

ULASAN & RINGKASAN BUKU – IBNU SAHNUN, Mutiara Pendidik Muslim

madinah_ns.jpgmadinah_ws.jpg

Bab Pertama Mukadimah
Di dalam mukadimah, penulis buku ini telah menjelaskan bahawa Pendidikan Islam mempunyai sejarah yang panjang seiring dengan  kedatangan Islam itu sendiri. Pendidikan Islam pada mulanya berlangsung secara tidak formal seperti di rumah  sahabat, ulama, masjid, tempat-tempat penjualan buku dan sebagainya. Nabi sendiri menjadikan rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam di Makkah sebagai tempat pendidikan, begitu juga rumah baginda di Makkah dan Madinah. Dalam sejarah awal Pendidikan Islam terdapat sebuah institusi Islam yang dikenali dengan nama Al-Kuttab. Menurut Syalabi Al-Kuttab telah ditemui sebelum Islam Walaupun jumlahnya sangat sedikit, tanpa merinci tempat-tempat pendidikan tersebut. Tambahnya, pendidikan di Al-Kuttab telah dikenal sejak abad pertama Hijrah di kota-kota Islam. Demikian juga kota Qairawan Tunis telah ditemui Al-Kuttab sejak pertengahan abad pertama Hijrah. Kita tidak mungkin melupakan apalagi meninggalkan gagasan-gagasan besar Ibnu Sahnun tentang Pendidikan Islam. Pemikiran-pemikiran Ibnu Sahnun tentang pendidikan Islam amat sesuai  untuk dibincangkan dan diperkatakan kembali berdasarkan beberapa kepentingan berikut:-Pertama, karya Ibnu Sahnun “Adab Al-Muallimin” adalah buku pertama yang dikenal dalam pendidikan Islam dan banyak dikutip oleh para tokoh pendidikan Islam sesudahnya seperti Al-Qabisi dan dijadikan rujukan utama oleh Ahmad Fu’ad Al Ahwani dalam bukunya. Kedua, pemikiran-pemikiran Ibnu Sahnun dalam kitab tersebut telah menjelaskan berlangsungnya pendidikan Islam di “Al-Kuttab” mirip dengan Madrasah Ibtidaiyah (rendah) saat ini, berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.Ketiga, Adanya pemahaman di tengah masyarakat, bahawa pendidikan Islam adalah pendidikan yang hanya mementingkan kepada akhirat semata-mata tanpa mementingkan dunia sama sekali. Sebagai renungan penulis buku ini menyatakan mengenai perbincangan pendidikan Islam dan tokoh-tokohnya yang telah lama terabai, apalagi ketika barat mencengkamkan kakinya di negeri-negeri Islam. Hasilnya idea-idea pendidikan barat lebih dominan dan berperanan menggantikan pendidikan Islam, yang terkadang tidak ada hubungannya dengan ajaran-ajaran Islam bahkan bercanggah sama sekali.Ibnu Sahnun telah berjaya melahirkan gagasan-gagasan besar dalam bidang Pendidikan Islam yang masih releven sehingga hari ini. Pemikiran Ibnu Sahnun tetang Pendidikan Islam terhimpum dalam buku pertama beliau iaitu kitab Adab Al-Mu’allimin (Adap Para Pendidik) yang telah direalisasikan dan dilaksanakannya di Al-Kuttab. Ianya bertujuan untuk  melahirkan lulusan Al-Kuttab yang memahami dan mendalami agama di samping memiliki wawasan yang luas dan menguasai ilmu-ilmu keduniaan dan kemahiran. Pemikiran beliau lebih cenderung kepada Al-Tarbiyyah Al-Fiqhiyyah (pendidikan yang bercorak fiqih) dengan maksud memberikan penekanan kepada ilmu-ilmu agama.  Pandangan-pandangan Ibnu Sahnun dalam Pendidikan Islam telah diikuti oleh tokoh-tokoh Pendidikan Islam yang hidup sesudahnya, seperti Al-Qabisi, Ibnu Maskawaih, Ibnu Khaldun dan lain-lain. Ibnu Sahnun telah memberikan perhatian terhadap pendidikan yang berlangsung di Kuttab dengan memberikan beberapa penekanan terhadap unsur-unsur penting dalam dunia persekolahan seperti disiplin anak didik , pengendalian bilik darjah, peranan ketua darjah dan kaedah pengajaran. Sistem pendidikan dalam bentuk sekolah telah wujud di zamannya dan bertebaran di seluruh negeri Maghribi 
Bab Kedua Riwayat hidup Ibnu Sahnun

Bercakap tentang Pendidikan Islam dan lembaga pendidikan yang ada di Qairawan dan di rantau Maghribi pada kurun ketiga hijrah, ialah munculnya seorang tokoh pendidikan beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Abi Sa’id Sahnun dan dikenali juga dengan Abdul Salam bin Habib bin Hisna bin Hilal bin Bakkar bin Rabi’ah Al-Tunukhi. Muhammad bin Sahnun lebih dikenali dengan Ibnu Sahnun, lahir dari keluarga ilmiah pada tahun 202H di kota Ghadat. Ayah Ibnu Sahnun seorang yang sangat alim. Ibnu Sahnun dibesarkan dalam jagaan ayahnya dan dimasukkannya ke al-Kuttab. Guru pertama Ibnu Sahnun adalah ayahnya. Beliau belajar Al-Quran dengannya dan berbahas dengan ayahnya. Dalam usia muda beliau telah menelaah beberapa buku karangan ayahnya. Banyak ulama menyanjungi Ibnu Sahnun. Sahsiah Ibnu Sahnun banyak dipengaruhi oleh keperibadian ayahnya yang merupakan pendidik pertamanya beliau dikenali dengan sifat zuhud, wara’ rendah hati disamping menguasai ilmu fiqh dan agama. Ibnu Sahnun juga tidak melupakan bidang penulisan dalam berbagai ilmu, beliau seorang yang banyak menulis dan mengarang dalam semua bidang ilmu yang kesemuanya hampir mencecah 200 buah buku. Walau bagaimanapun hanya dua buah buku karangan Ibnu sahnun yang sampai ke tangan kita pada hari ini, iaitu Buku Adab Al-Muallimin dan kitab Ajwibah. 

Bab Ketiga Konsep Pendidikan Ibnu Sahnun

Ibnu Sahnun telah membincangkan tentang kurikulum  dan  kaedah pengajaran. Menurut beliau, kedua perkara ini adalah berbeza. Kurikulum adalah satu istilah yang menjelaskan  tentang kuantiti dan kualiti bahan yang diajarkan, manakala kaedah pula menjelaskan tentang cara-cara penyampaian di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ibnu Sahnun mengklasifikasikan di antara subjek-subjek wajib dan pilihan yang harus diambil oleh seorang Pelajar. Di antara kurikulum wajib ialah AL-Quran Al-Karim dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, Hadis Rasulullah s.a.w dan Fiqih. Menurutnya subjek Al-Quran mesti dipelajari oleh semua Pelajar tanpa mengira bidang pengkhususan. Malah disyaratkan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, anak didik mestilah mengkhatamkan Al-Quran terlebih dahulu. Sementara kurikulum pilihan, Ibnu Sahnun telah menawarkan subjek-subjek pilihan seperti Ilmu Hisab, Syair, Bahasa Arab, Kaligrafi, Pidato dan subjek-subjek yang diperlukan oleh anak didik bagi kehidupan mereka ketika itu. Dalam konteks sekarang, anak didik perlu dibekali dengan kemahiran dan keterampilan sesuai dengan bakat yang dimilikinya dan keperluan semasa. Hal ini dimaksudkan agar anak didik tidak hanya menguasai bidang akademik semata, tetapi juga mampu merialisasikannya dalam bentuk amali.Peranan pendidik di Al-Kuttab tidak hanya terbatas pada pendidikan  dan pengajaran tetapi sebgai orang tua bagi anak didik. Beliau juga menitikberatkan peranan pendidik sebagai pelaksana utama dalam pendidikan yang kini dikenal sebagai Teori Pemusatan Guru. Para pendidik hendaklah memiliki ilmu yang mendalam, mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa dan Pelajar. Pendidik hendaklah bijak mengurus bilik darjah sebagai mekanisme utama dalam mempastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar. Menurut Ibnu Sahnun peranan pendidik adalah luas dan tidak hanya terhad di dalam  bilik darjah. Seorang pendidik seharusnya memberikan perhatiannya terhadap anak didik secara berterusan dan memantau mereka di mana sahaja, sama ada di rumah mahupun ditengah-tengah masyarakat. Inilah satu tanggungjawab yang besar dan harus dipikul oleh seorang pendidik. Selain daripada tanggungjawab mengajar di sekolah. Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan guru sebagai contoh teladan role model yang menjadi ikutan anak didik bahkan masyarakat. Oleh yang demikian adalah menjadi kewajipan bagi pendidik untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan mengamalkan dalam kehidupannya.Ibnu Sahnun juga telah menjelaskan pengertian hukuman dalam dunia pendidikan. Ianya merupakan cara terakhir dilaksanakan yang bertujuan untuk meluruskan dan memperbaiki keadaan anak didik dan bukan untuk memuaskan hawa nafsu atau belas dendam terhadap anak didik. Pendidik tidak sewenang-wenang menjatuhkan hukuman tanpa rasa kasih sayang. Demikian halnya imbalan baik perlu dilakukan dalam dunia pendidikan bagi tujuan memotivasikan anak didik untuk bekerja keras dan bersungguh-sungguh. 

Kesimpulan

Penulis buku ini telah mengutarakan gagasan-gagasan atau pandangan-pandangan Ibnu Sahnun di dalam Pendidikan Islam. Ianya membuka minda para pembaca khususnya para pendidik mengenai Pendidikan Islam yang dikemukakan oleh Ibnu Sahnun agar dapat dijadikan satu perbandingan antara Pemikiran Ibnu Sahnun dan Pendidikan Islam dewasa ini di samping untuk mengetahui aspek-aspek positif yang dapat dilaksanakan di zaman ini. Menurut penulis buku ini kajian-kajian tentang konsep Pendidikan Islam dari tokoh-tokoh Pendidikan Islam terdahulu yang lain  juga perlu dilaksanakan seperti Al-Qabisi, Al-Zarnuji, Al-Maskawaih, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan tokoh-tokoh Pendidikan Islam di rantau melayu seperti Hamka, Mohammad Nasir, Syaikh Daud Pattani, Tok Kenali, Zaaba dan lain-lain agar ianya akan menjadi lebih sempurna. Di samping itu penulis buku ini juga berpendapat bahawa kajian terhadap kitab-kitab Turath (khazanah-khazanah intelektual Muslim) terdahulu perlu dimantapkan dan dimasyarakatkan di kalangan para pendidik dan sarjana agar mereka memahami dan mengetahui bahawa tokoh-tokoh Pendidikan Islam yang terdahulu telah berjaya menghasilkan konsep buku pendidikan yang baik dan bermutu. Dengan demikian mereka terpanggil dan beriltizam untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik dalam bidang pendidikan.

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: